TM dan Digi berkolaborasi untuk membawakan jalur lebar berkelajuan tinggi kepada lebih ramai rakyat Malaysia

Home
Press Release
July 13, 2020
https://digi.com.my/media/articleURLhereWhichCanbeReallyLong

Kolaborasi membolehkan kedua-dua syarikat membawakan pengalaman perkhidmatan dipertingkatkan dan menjana pertumbuhan ekonomi ke arah memacu Digital Malaysia

Telekom Malaysia Berhad (TM) menerusi unit global dan borongnya, TM WHOLESALE dan Digi Telecommunications Sdn. Bhd. (Digi) hari ini mengumumkan satu kolaborasi bagi liputan perkhidmatan akses jalur lebar seluruh negara, selari dengan komitmen Digi untuk menyediakan pilihan sambungan kepada lebih ramai pelanggan. Kolaborasi ini menggambarkan komitmen kedua-dua syarikat dalam membawakan pengalaman digital terbaik kepada para pelanggan Digi di Malaysia menerusi sambungan fiber TM yang berdaya tahan.

Di bawah perjanjian ini, TM akan menyediakan Perkhidmatan Rangkaian HSBB Peringkat 3 (Layer 3 HSBB Network Service) kepada Digi, justeru membolehkan penyedia perkhidmatan digital itu meluaskan kedudukannya ke lebih banyak lokasi seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak, dengan memanfaatkan infrastruktur rangkaian fiber TM yang meluas dan mantap.

Perjanjian tersebut telah ditandatangani oleh Amar Huzaimi Md Deris, Naib Presiden Eksekutif, TM WHOLESALE dan Loh Keh Jiat, Ketua Pegawai Pemasaran, Digi.

Mengulas mengenai kolaborasi berkenaan, Amar Huzaimi berkata, “Pandemik Covid-19 telah membuktikan yang masyarakat serta organisasi sangat bergantung kepada sambungan internet untuk komunikasi dalam talian dan perisian digital bagi kekal terhubung dan kekal produktif ketika berada di rumah. Kami teruja dapat memeterai satu lagi kolaborasi dengan Digi, yang menggambarkan komitmen bersama kami dalam memastikan sambungan yang menyeluruh, stabil dan sentiasa tersedia untuk rakyat Malaysia, di mana perkara ini terus menjadi elemen penting bagi merancakkan semula ekonomi negara pasca pandemik dan seterusnya. Sebagai penyedia infrastruktur telekomunikasi dan digital negara untuk memacu aspirasi Digital negara, TM sentiasa menyokong teguh perkongsian infrastruktur dan kolaborasi peringkat industri ini yang menggunakan perkhidmatan rangkaian HSBB kami sebagai platform memperkukuhkan komitmen kami ke arah memacu penerimaan jalur lebar. Oleh itu, kami akan terus memainkan peranan unik kami sebagai penyedia neutral dengan menyediakan akses terbuka kepada pencari akses (access seekers) dalam kalangan rakan-rakan pemain industri. Ini akan membuka ruang kepada penawaran pakej-pakej internet yang lebih pelbagai dan kreatif buat rakyat Malaysia, menepati janji kami untuk “Menjadikan Hidup dan Perniagaan Lebih Mudah demi Kesejahteraan Malaysia.”

Menurut Loh, “Kolaborasi dengan TM ini akan membolehkan Digi menghubungkan 3 juta isi rumah lagi di seluruh negara dengan perkhidmatan internet fiber, justeru memberikan lebih pilihan kepada pelanggan untuk menikmati pengalaman sambungan menyeluruh, sama ada ketika di rumah atau di luar rumah bersama kami. Kami sentiasa melihat kolaborasi sebagai satu cara positif untuk membawakan akses yang efisien dan meluas kepada rakyat Malaysia seluruh negara, dan ini merupakan sesuatu yang lebih penting untuk menyokong keperluan sambungan para pelanggan kami pada waktu sebegini.”

Usahasama ini membolehkan kedua-dua pemain utama industri memanfaatkan sepenuhnya infrastruktur secara efisien bagi mengelakkan pertindihan rangkaian yang tidak sepatutnya, selari dengan seruan Kerajaan terhadap kerjasama industri yang lebih mantap. Menggunapakai infrastruktur sedia ada turut membolehkan penyedia-penyedia perkhidmatan menumpukan kepada melaksanakan perkhidmatan mereka di kawasan-kawasan penting, justeru meluaskan capaian dan mempertingkatkan pengalaman pelanggan sambil merapatkan jurang digital. Akhirnya, ini akan memberi faedah kepada pengguna dan perniagaan dengan memperkayakan warga Malaysia dengan sambungan bertaraf dunia yang sangat pantas, dan meningkatkan kadar penembusan jalur lebar di negara ini.

Untuk maklumat lanjut mengenai produk dan penawaran Digi, layari www.digi.com.my dan untuk maklumat lanjut mengenai perkhidmatan dan penyelesaian komunikasi domestik dan antarabangsa daripada TM WHOLESALE, layari www.tm.com.my/tmglobal.