Semua pekerja barisan hadapan Digi Store dan peruncitan telah divaksin sepenuhnya

Home
Press Release
October 19, 2021
https://digi.com.my/media/articleURLhereWhichCanbeReallyLong

Semua pekerja barisan hadapan Digi Store dan peruncitan telah divaksin sepenuhnya

Langkah-langkah keselamatan yang ketat diambil untuk menyediakan persekitaran interaksi yang selamat buat pelanggan dan pekerja

Subang Jaya, 19 Oktober 2021 – Digi Telecommunications Sdn Bhd (Digi) hari ini mengumumkan semua pekerja barisan hadapannya yang bekerja di Digi Store seluruh negara, termasuklah pengawal keselamatan dan pekerja pembersihan, telah lengkap menerima suntikan vaksin Covid-19.

Cheng Weng Hong, Ketua Pegawai Jualan Digi berkata, “Keutamaan kami adalah memastikan penyediaan persekitaran yang selamat untuk menyantuni pelanggan, di samping menitikberatkan kesejahteraan para pekerja selari dengan komitmen kami dalam menjalankan perniagaan yang bertanggungjawab. Kami ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pelanggan atas sokongan berterusan yang dberikan, serta pekerja barisan hadapan kami atas dedikasi mereka dalam memenuhi keperluan sambungan pelanggan sepanjang pandemik ini.”

Selain daripada telah divaksin sepenuhnya, semua pekerja barisan hadapan Digi menjalani ujian kendiri RTK-Antigen Covid-19 setiap dua minggu sebagai langkah pencegahan. Antara langkah keselamatan wajib lain yang dilaksanakan termasuklah memakai pelitup muka pada setiap masa, memeriksa suhu badan dan mensanitasi tangan, mendaftar masuk di aplikasi MySejahtera serta hanya membenarkan pelanggan yang telah divaksin sepenuhnya dengan risiko rendah atau status hubungan kasual untuk memasuki kedai.

Penjarakan fizikal dilaksanakan dengan ketat dan papan pelindung akrilik dipasang di setiap ruang konsultasi. Semua Digi Store juga dilengkapi dengan penapis udara HEPA untuk menjaga kualiti udara yang sihat di dalam premis, semua permukaan pula dibersihkan setiap jam, manakala sanitasi menyeluruh dengan semburan pembasmi kuman dilakukan setiap dua minggu.

Membuka semua saluran perkhidmatan untuk memenuhi keperluan pelanggan

Selain daripada kedai fizikal, Digi turut memastikan semua saluran perkhidmatannya tersedia, termasuklah menambah baik saluran digital bagi memudahkan pelanggan melakukan transaksi dalam talian, sekaligus menggalakkan lebih ramai pelanggan untuk menggunakan perkhidmatan layan diri dari keselamatan dan keselesaan rumah mereka.

  • Platform digital layan diri iaitu aplikasi MyDigi dan Digi Store Online tersedia setiap masa. Pelanggan boleh melakukan pelbagai transaksi penting secara digital seperti pembayaran bil, tambah nilai prabayar, tambah nilai internet, pembelian peranti dan aksesori serta banyak lagi.
  • Talian khidmat pelanggan, perbualan langsung dan platform media sosial beroperasi setiap masa untuk menjawab pertanyaan pelanggan.

Digi komited untuk memastikan rakyat Malaysia kekal berhubung terhadap pelbagai perkara penting dengan cara yang selamat dan bertanggungjawab, di samping menyokong usaha negara dalam menggalakkan rakyat Malaysia divaksin serta mendorong pemulihan masyarakat.

Untuk maklumat lanjut mengenai transaksi yang boleh dilakukan dalam talian, layari www.digi.com.my