Peringatan penipuan wang: Digi mengingatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada

Home
Press Release
April 26, 2022
https://digi.com.my/media/articleURLhereWhichCanbeReallyLong

Maklumat ringkas mengenai penipuan wang mampu membantu orang ramai melindungi diri

SUBANG JAYA, 26 April 2022 - Menyedari bahawa sesiapa sahaja berpotensi menjadi mangsa penipuan wang pada bila-bila masa, Digi Telecommunications Sdn Bhd (Digi) menggesa rakyat Malaysia agar sentiasa berwaspada dan mempelajari cara mengenal pasti modus penipuan wang sebagai perlindungan diri. Digi menggalakkan masyarakat agar meneliti maklumat mengenai modus tersebut di laman web peringatan penipuan wang dan kongsikannya bersama keluarga serta rakan-rakan.

Maklumat ringkas yang disediakan di laman tersebut menekankan lima jenis penipuan wang yang sering berlaku iaitu Wangiri, Panggilan Palsu atau Memancing Data, Penipuan SMS, Penipuan Media Sosial dan Perisian Hasad (Malware), modus operandi sindiket penipuan serta cara untuk melindungi diri daripada terjerat dalam helah tersebut. Laman web ini juga menjadi platform yang membolehkan pengguna mebuat laporan kepada pihak berkuasa yang berkenaan tentang penipuan wang atau sebarang aktiviti siber yang merbahaya.

Dalam usaha memperkasa dan memahirkan masyarakat dengan sumber-sumber yang relevan dalam mencegah potensi risiko penipuan wang, Ketua Bahagian Kelestarian Digi, Philip Ling, menggesa rakyat Malaysia untuk sentiasa peka dan tidak mudah terpedaya.

“Tiada masa yang lebih khusus untuk kita berwaspada terhadap penipuan wang, melainkan sekarang - malah setiap hari. Laporan berita dalam tempoh tiga tahun kebelakangan tentang rakyat Malaysia kehilangan lebih RM1 bilion wang simpanan hasil titik peluh mereka kepada sindiket penipuan wang dalam talian menunjukkan bahawa terdapat keperluan untuk meningkatkan kesedaran dan pendidikan awam mengenai penipuan wang. Sindiket sentiasa menyasar mangsa ketika mereka lalai, apatah lagi kini apabila rakyat Malaysia mula menerima simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mereka. Justeru itu, kami sentiasa komited untuk terus mendidik masyarakat mengenairisiko penipuan dalam talian serta luar talian, cara melindungi maklumat peribadi mereka serta membimbing mereka supaya bijak bertindak jika menerima permintaan mencurigakan atau atau tawaran amat lumayan,” kata Philip.

Melalui kempen ini, Digi akan terus berhubung dengan masyarakat tentang keselamatan dalam talian di platform media sosialnya dan menerusi makluman SMS untuk membantu mengingatkan mereka supaya sentiasa berhati-hati.

Platform sehenti yang mudah diakses oleh semua

Orang ramai boleh memuat turun dan berkongsi infografik ringkas mengenai kesedaran penipuan wang serta mendapatkan maklumat dan bahan lain mengenai keselamatan siber melalui portal Digi Yellow Heart Safe Internet. Laman web ini merupakan platform sehenti untuk bahan pendidikan bertujuan menyediakan kemudahan dan pengetahuan yang menyeluruh bagi rakyat Malaysia supaya mereka menggunakan internet dengan selamat. Antaranya, buku panduan untuk ibu bapa dan kanak-kanak, siri video, modul sukatan pelajaran kebangsaan dan banyak lagi.

Orang ramai boleh mengetahui lebih mendalam tentang penipuan siber dan digital yang semakin meluas kini di laman web Pusat Bantuan Digi, bawah segmen Soalan Lazim disamping boleh melaporkan penipuan wang kepada pihak berkuasa yang berkenaan melalui portal tersebut, sekiranya mereka mempunyai info.

Untuk maklumat lanjut mengenai inisiatif Digi Yellow Heart, layari www.digi.com.my/yellow-heart.

-TAMAT-