Pengendali Telekomunikasi Komited dengan JENDELA dalam Menyediakan Kesalinghubungan Digital untuk Semua Rakyat Malaysia

Home

Press Release


September 2, 2020

https://digi.com.my/media/articleURLhereWhichCanbeReallyLong

3 September 2020 – Pengendali telekomunikasi Celcom Axiata Berhad, Digi Telecommunications Sdn Bhd, Maxis Berhad, U Mobile Sdn Bhd, Telekom Malaysia Berhad dan TIME dotCom Berhad (atau ‘Industri’ secara kolektif) menyatakan komitmen penuh untuk bersama Kerajaan dalam menjadikan kesalinghubungan sebagai keperluan asas untuk memacu peralihan Malaysia ke arah masyarakat digital berpendapatan tinggi. Pelan Tindakan Jalinan Digital Negara (JENDELA) yang diumumkan oleh Perdana Menteri Malaysia, YAB Tan Sri Muhyiddin bin Yassin, akan menjadi platform bagi mencapai aspirasi tersebut dengan mempercepatkan kesalinghubungan digital negara melalui penggunaan akses mudah alih, gentian dan tanpa wayar tetap yang meluas, serta memberi laluan kepada teknologi 5G, di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (2021–2025).

Makmal Infrastruktur Digital Negara: Usaha Kolaboratif dalam Mencapai Aspirasi bagi Menyediakan Kesalinghubungan untuk Semua Rakyat Malaysia
Pandemik Covid-19 telah mencetuskan keperluan yang mendesak untuk Malaysia menangani ‘norma baharu’ dan menyediakan permintaan yang akan datang bagi perkhidmatan kesalinghubungan sebagai penggerak kesemua aspek kehidupan, termasuk ekonomi dan sumber pendapatan masyarakat, pendidikan, peluang perniagaan, serta membina dan menghubungkan komuniti. Untuk bersiapsiaga pada masa hadapan dan memenuhi aspirasi Digital Malaysia, ia amat jelas bahawa Industri perlu memacu kesemua pihak terlibat melalui penyediaan perkhidmatan kesalinghubungan yang berkualiti dan dipercayai.

Sehingga kini, Industri terus teguh menyokong Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam Makmal Infrastruktur Digital Negara (NDIL), dengan sasaran untuk mengenalpasti secara kolektif cara untuk menyediakan perkhidmatan kesalinghubungan yang berkualiti untuk semua rakyat Malaysia. Hasil yang dijana daripada NDIL merupakan sebuah pelan infrastruktur digital yang komprehensif bagi mempercepatkan penambahbaikan liputan dan kualiti pengalaman digital di seluruh negara, optimisasi talian tetap, mudah alih dan pelbagai teknologi yang bersesuaian, seterusnya memberi laluan kepada adaptasi teknologi 5G untuk mencapai agenda digital negara ini.

JENDELA: Memperkukuh Infrastruktur Digital Negara bagi Menyediakan Kesalinghubungan untuk semua Rakyat Malaysia
Industri akan bergandingan dengan Kerajaan dalam memacu negara dengan lebih pantas sebagai masyarakat dan ekonomi digital yang diperkaya melalui kemampuan bersaing secara global dan utuh melalui JENDELA.

Fasa 1 (mulai sekarang hingga 2022): Pelan penambahbaikan yang dipercepat untuk liputan 4G di seluruh negara dan talian jalur lebar tetap di 7.5 juta premis; dengan kualiti pengalaman yang konsisten untuk semua

Sebagaimana yang diumumkan oleh Perdana Menteri, JENDELA akan dilaksanakan secara berperingkat. Fasa 1, yang bermula sekarang sehingga 2022, akan mengoptimumkan sumber dan infrastruktur yang sedia ada bagi talian tetap dan mudah alih untuk:

  • Memperluas liputan 4G bagi jalur lebar mudah alih daripada 91.8% kepada 96.9% di kawasan berpenduduk;
  • Mempertingkat kelajuan jalur lebar mudah alih daripada 25Mbps kepada 35Mbps; dan
  • Membolehkan sebanyak 7.5 juta premis mendapat akses kepada jalur lebar talian tetap berkelajuan gigabit.

JENDELA akan mengutamakan pengukuhan rangkaian talian tetap dan mudah alih sedia ada di negara ini, serta membina asas yang kukuh seterusnya bagi memberi laluan kepada adaptasi 5G. Usaha ini turut melibatkan penamatan rangkaian 3G secara berperingkat sehingga penghujung 2021. Bagi mencapai sasaran dalam Fasa 1, Industri akan memperluaskan liputan dan mempertingkatkan kualiti pengalaman digital melalui penaiktarafan dan pembangunan tapak 4G yang baru serta memperluas capaian gentian optik di lebih banyak premis.

Ini akan dilaksanakan dengan melanjutkan liputan 4G mudah alih di kawasan pedalaman dan terpencil, menambahbaik liputan dalam premis bagi kawasan bandar dan pinggir bandar, menghubungkan lebih banyak kediaman dengan talian jalur lebar tetap gentian optik dan penggunaan teknologi lain yang bersesuaian (contohnya Akses Tanpa Wayar Tetap (FWA) dan satelit) bagi memastikan liputan meluas di seluruh negara dan kesalinghubungan untuk semua.

Selain itu, kesemua penyedia perkhidmatan gentian akan terus menyokong industri dengan sokongan gentian bagi menampung kapasiti trafik 4G yang dijangka akan meningkat dan memastikan pengukuhan asas gentian yang sewajarnya bagi teknologi masa hadapan seperti 5G.

Fasa 2 (Selepas 2022): Mengatasi Jurang Digital melalui Akses Tanpa Wayar Tetap (FWA) serta memberi laluan kepada 5G
Fasa 2 JENDELA akan melibatkan penggunaan FWA dan teknologi lain yang bersesuaian bagi merapatkan jurang digital, serta mempersediakan negara untuk adaptasi teknologi 5G, yang akan dilaksanakan sebaik pelan tindakan dalam Fasa 1 telah dicapai.

Industri akan terus mendidik masyarakat mengenai potensi 5G dan keupayaannya, melalui pelbagai kes kegunaan untuk diaplikasi dalam pelbagai industri seperti pembuatan, pertanian, pendidikan, penjagaan kesihatan, keselamatan pengangkutan, pengalaman pelanggan, alam sekitar, dan pembangunan bandar pintar. Kes kegunaan ini akan terus diterokai melalui Projek Demonstrasi 5G (5GDP) yang dijalankan bersama SKMM sehingga 31 Disember 2020.

JENDELA: Pelan kesalinghubungan digital yang realistik, progresif untuk merealisasikan Digital Malaysia
JENDELA merupakan pelan penambahbaikan yang dipercepat bagi memperlihatkan hasil pelaburan bersama pihak awam dan swasta. Ia merupakan aspirasi yang sama dikongsi oleh seluruh lapisan masyarakat, dipacu oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) dan SKMM, dan dijalin bersama pengendali telekomunikasi, serta agensi lain di peringkat persekutuan, negeri, dan kerajaan tempatan.

Industri percaya bahawa kolaborasi antara kesemua pihak amat penting untuk membantu pelaksanaan pembangunan infrastruktur dalam keadaan yang tersusun, serta memberi impak minimum kepada kerja-kerja awam, masyarakat, persekitaran, dan kesemua aspek dalam ekosistem. Kami berbesar hati untuk berganding bahu dalam memenuhi objektif JENDELA dan membolehkan kesalinghubungan yang berkualiti secara meluas untuk kesemua rakyat Malaysia.

Industri akan sentiasa berkongsi maklumat terkini berkenaan progres JENDELA dari masa ke masa, termasuk inisiatif yang dijalankan sebagai sebahagian daripada usaha memenuhi aspirasi tersebut.