Komik ‘Safe Internet’ Digi: Tip-tip menarik bagi keselamatan dalam talian

Home
Press Release
June 10, 2022
https://digi.com.my/media/articleURLhereWhichCanbeReallyLong

Sebuah siri komik enam bahagian bertujuan menekankan kepentingan keselamatan internet.

SUBANG JAYA, 10 Jun 2022 – Jenayah siber tidak mengenal usia, jantina mahupun latar belakang. Mengarifi perkara ini serta kepentingan pendidikan keselamatan dalam talian, Digi Telecommunications Sdn Bhd (Digi) sedang menjadikan pendidikan keselamatan internet lebih ringkas, menarik dan mudah difahami menerusi sebuah siri komik.

Digi telah bekerjasama dengan dua artis komik yang ternama, Nixon Siow (Crazy Rich Guy) dan Daniel Mok (The Mokumentary), untuk melancarkan siri komik enam bahagian mengenai keselamatan internet. Setelah memperjuangkan kepentingan keselamatan internet untuk kanak-kanak sejak lebih sedekad, komik ini merupakan satu lagi pendekatan yang diambil untuk mendidik rakyat Malaysia, khususnya golongan belia supaya lebih peka dan beretika semasa menggunakan media sosial. Topik-topik yang diliputi dalam siri ini termasuk kepentingan penggunaan kata laluan yang kukuh, penipuan beli-belah dalam talian, laman sesawang palsu yang mengakibatkan jangkitan malware, perkongsian secara berleluasa dalam talian, pengintai maya, serta tipu helah cinta dalam talian.

Ketua Bahagian Kelestarian Digi, Philip Ling, berkongsi bahawa kolaborasi bersama dua artis komik ini merupakan cara Digi menggunakan platform seni dan budaya untuk meningkatkan kesedaran mengenai keselamatan internet. “Menerusi kandungan yang ringkas dan menarik, kami berharap komik ini boleh menjadi pencetus perbualan bagi aneka topik yang berkaitan dengan keselamatan internet. Kegiatan penipuan juga semakin berleluasa kebelakangan ini, justeru kami melihat keperluan yang mendesak untuk membantu warga digital kekal peka dan selamat dalam talian, khususnya golongan belia dan warga emas,” sebut Philip.

Komik-komik ini akan disiarkan di laman Instagram artis-artis berkenaan - The Mokumentary dan Crazy Rich Guy, dari minggu ke minggu. Ia juga akan disediakan dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Cina untuk menyebarkan pengetahuan kepada lebih ramai individu. 

Sebagai salah satu inisiatif program ‘Safe Internet’ Digi, sebuah sehenti Yellow Heart Safe Internet telah diwujudkan sebagai sumber rujukan bahan-bahan pendidikan berkaitan keselamatan dalam talian untuk melengkapi rakyat Malaysia, di samping buku panduan buat ibu bapa dan kanak-kanak, siri video, modul sukatan pelajaran nasional dan banyak lagi.

Untuk maklumat lanjut mengenai inisiatif Yellow Heart oleh Digi, layari https://digi.my/yellowheart.