Kaji Selidik Kesedaran Scam oleh CelcomDigi menilai pemahaman rakyat mengenai scam

Home
Press Release
February 5, 2024
https://digi.com.my/media/articleURLhereWhichCanbeReallyLong
  • Kaji selidik bertujuan menilai tahap pengetahuan dan pemahaman awam tentang scam akan dijalankan dengan kerjasama pusat internet di seluruh negara
  • Hasil kajian akan membantu melaksanakan usaha yang lebih strategik dan holistik untuk meningkatkan kesedaran scam

PETALING JAYA, 5 Februari 2024 – Berdasarkan laporan terkini Ipsos, 76% rakyat Malaysia pernah menghadapi dan menjadi sasaran penipuan pada satu ketika dalam hidup mereka; rekod daripada Pusat Respons Scam Kebangsaan pula melaporkan bahawa lebih RM1.34 bilion telah hilang kepada penipu (scammer) pada 2023. Dalam usaha untuk meningkatkan inisiatif kesedaran yang lebih berkesan dan disasarkan, CelcomDigi Berhad (CelcomDigi) melancarkan Kaji Selidik Kesedaran Scam demi menilai pengetahuan umum tentang penipuan (scam) dan kaedah pencegahan yang berkaitan.

Bermula pada 6 Februari 2024 bersempena Hari Keselamatan Internet (Safer Internet Day), kaji selidik ini akan dijalankan dengan kerjasama 307 buah pusat internet atau Pusat Ekonomi Digital (PEDi) yang diuruskan oleh CelcomDigi. Kajian ini menyasarkan sebanyak 10,000 maklum balas daripada rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas.  

Menurut Ketua Kelestarian CelcomDigi Philip Ling, “Apabila ‘scammer’ semakin maju dalam mengancam kesejahteraan rakyat Malaysia, kami mahu mengoptimumkan sumber-sumber kami untuk memacu ketersediaan yang lebih kukuh terhadap ancaman scam. Hasil kajian ini adalah penting bagi kami untuk memastikan inisiatif pendidikan awam boleh menangani jurang tertentu dalam meningkatkan kesedaran scam sambil mewujudkan lebih banyak kempen untuk komuniti. Di samping itu, hasil kajian ini juga akan memberi wawasan kepada penggubal dasar dan agensi penguatkuasaan untuk meningkatkan tindakan kolektif dalam perang terhadap scam.”


Memastikan perniagaannya dijalankan secara bertanggungjawab, CelcomDigi turut mengamalkan sebuah prinsip yang mudah berpandukan ACT (Awareness, Compliance, Technology), yakni untuk mewujudkan kesedaran (Awareness), meningkatkan tahap kepatuhan (Compliance) dalam operasi perniagaan sambil menyokong usaha badan penguatkuasa, dan memanfaatkan kuasa teknologi (Technology) untuk mengatasi ancaman siber serta membina kerangka perlindungan yang relevan untuk rakyat Malaysia.  

Selain daripada kaji selidik ini, syarikat ini telah menjadi daya pendorong dalam meningkatkan pengalaman internet yang lebih selamat untuk semua rakyat Malaysia. Antara inisiatif yang telah dijalankan termasuk memulakan kempen kesedaran awam Jelajah Anti-Scam Kebangsaan di seluruh negara pada 2023, menjalankan satu siri ceramah keselamatan digital SAFE @Schools bagi para pelajar serta mewujudkan satu halaman sehenti SAFE Internet untuk orang ramai mengakses dan memuat turun bahan keselamatan digital dengan mudah.

Kaji selidik Kesedaran Scam oleh CelcomDigi boleh diakses di SINI sehingga tarikh tutup pada 15 Mac 2024.