Jelajah anti-scam kebangsaan sasar tingkatkan pengetahuan dan kesedaran mengenai jenayah penipuan dalam talian

Home
Press Release
February 18, 2023
https://digi.com.my/media/articleURLhereWhichCanbeReallyLong

PETALING JAYA, 18 Februari 2023 – Menteri Komunikasi dan Digital, YB Fahmi Fadzil hari ini merasmikan Jelajah Anti-Scam Kebangsaan 2023 anjuran bersama CyberSecurity Malaysia, CelcomDigi dan Gabungan Bertindak Anti-Scam (GBAS). Program ini dilaksanakan sempena sambutan Hari Keselamatan Internet (Safer Internet Day - SID) 2023 bertujuan memberi pendidikan dan kesedaran kepada pengguna tentang kaedah mengenali panggilan scam, tatacara serta modus operandi scam yang terkini serta berkongsi tips dan panduan bagi menghindari daripada menjadi mangsa scam atau ancaman siber yang lain. 

“Kerajaan komited meningkatkan kesedaran rakyat dengan memberi pendidikan serta maklumat mengenai jenayah scam. Justeru, saya menggesa masyarakat untuk bersikap proaktif dan mengambil inisiatif melengkapkan diri dengan ilmu serta maklumat mengenai keselamatan siber. Kita harus bina sikap kawal kendiri bagi membolehkan kita bijak menilai sesuatu perkara sebelum bertindak selain dapat bersama-sama membina komuniti Siber MADANI dalam persekitaran siber yang sejahtera,” ujar Menteri Komunikasi dan Digital, YB Fahmi Fadzil dalam ucapan perasmiannya. 

Selain Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Selangor, siri jelajah ini akan diteruskan di Perlis, Kelantan, Johor, Sabah dan Sarawak. Menurut Pengerusi Lembaga Pengarah, CyberSecurity Malaysia, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri (Dr.) Haji Zulkifeli Mohd Zin (Bersara) program ini menyasarkan golongan B40, M40 dan T20 dalam kalangan remaja, belia dan warga emas termasuk ibu bapa, kakitangan awam dan swasta serta orang kurang upaya (OKU). Antara pengisian program Jelajah Anti-Scam ini ialah seminar dan forum melibatkan ahli-ahli panel yang berpengalaman luas berdasarkan bidang dan kepakaran berkaitan keselamatan siber. 

Ketika diminta mengulas mengenai kerjasama dalam menjayakan program ini, Ketua Pegawai Eksekutif CelcomDigi, Datuk Idham Nawawi berkata, “CelcomDigi menyedari kepentingan menyediakan persekitaran Internet yang kondusif dan selamat untuk semua pengguna rangkaian kami selain bertanggungjawab untuk menyemai rutin dan kemahiran penggunaan Internet yang selamat dalam kalangan rakyat Malaysia, selaras dengan aspirasi kerajaan untuk membina komuniti Siber MADANI”. Beliau turut menyatakan komitmen CelcomDigi untuk terus berusaha meningkatkan kesedaran awam melalui kerjasama erat dengan agensi penguat kuasa dan organisasi berkaitan, serta mempelopori pendekatan teknologi yang terkini bagi memerangi jenayah siber. 

Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), PDRM mencatatkan sebanyak 19,034 laporan kes berkaitan jenayah siber dan multimedia sepanjang tahun 2022, melibatkan kerugian berjumlah RM593 juta. Manakala rekod sehingga Januari 2023, JSJK menerima jumlah laporan kes sebanyak 1,563 dengan kerugian sebanyak RM48 juta.