Digi menyumbang RM130,000 untuk khidmat rehabilitasi COVID-19 di Sarawak

Home
Press Release
January 25, 2022
https://digi.com.my/media/articleURLhereWhichCanbeReallyLong

Sumbangan fasa terakhir daripada jumlah RM1 juta yang diperuntukkan kepada MERCY Malaysia bagi usaha Pemulihan & Tindakan COVID-19


SUBANG JAYA, 25 Januari 2022 – Digi Telecommunications Sdn Bhd (Digi) telah menyumbang RM130,000 kepada usaha Pemulihan & Tindakan COVID-19 yang sedang dijalankan oleh MERCY Malaysia, lantas menyempurnakan fasa terakhir bagi sumbangan berjumlah RM1 juta yang telah diperuntukkan bagi tujuan ini. 


Sumbangan fasa ketiga ini akan disalurkan kepada perkhidmatan kesihatan dan rehabilitasi untuk bekas pesakit COVID-19, terutamanya golongan rentan seperti warga emas dan individu yang mempunyai penyakit kronik atau komorbiditi (bekas pesakit kategori 4 dan 5).


Ketua Unit Kelestarian Digi, Philip Ling, menyatakan bahawa pengalaman berganding bahu dengan MERCY Malaysia selama dua tahun dalam membekalkan sokongan khidmat kesihatan COVID-19 telah menunjukkan dengan jelas bahawa garisan penamat bagi perjuangan COVID-19 ini masih jauh dari jangkauan. 


“Sementara kita menginjak ke tahun pandemik yang ketiga, Digi sedar akan tanggungjawab dan keperluan untuk terus menyokong sistem kesihatan negara dan menambah baik proses pemulihan daripada COVID-19. Kami menggalakkan rakyat Malaysia untuk mendapatkan suntikan penggalak masing-masing bagi melindungi sesama kita serta insan yang kita sayangi, dan pada masa yang sama memastikan Malaysia terus bingkas,” sebut beliau.


Sumbangan berjumlah RM1 juta ini telah diperuntukkan kepada Rangkaian Tindak Balas Bencana Syarikat Berkaitan Kerajaan dan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GDRN) pada 2020, atas komitmen Yellow Heart oleh Digi untuk menjadi entiti perniagaan yang bertanggungjawab. Keseluruhan dana tersebut telah disalurkan melalui MERCY Malaysia bagi membekalkan bantuan perubatan dan kemanusiaan dalam usaha untuk menyokong Kementerian Kesihatan melawan wabak COVID-19.

Presiden MERCY Malaysia, Profesor Dato’ Dr Ahmad Faizal Mohd Perdaus dalam menghargai sokongan Digi yang berterusan ke atas inisiatif ini, menyatakan bahawa kerjasama pelbagai pihak dari sektor berlainan bagi menyokong perkhidmatan kesihatan melibatkan COVID-19 merupakan sebuah pengalaman yang amat bernilai. 

“Khidmat kesihatan pasca-trauma tidak kurang pentingnya bagi menjamin kesejahteraan seseorang pesakit, justeru sumbangan fasa terakhir ke arah khidmat rehabilitasi bagi golongan rentan ini adalah mustahak untuk menambah baik hasil perkhidmatan kesihatan yang ditawarkan,” jelas beliau.


Sumbangan pertama yang bernilai RM250,000 telah digunakan untuk memberi sokongan kepada para petugas barisan hadapan di Sabah dengan pembelian Peralatan Perlindungan Peribadi (PPE) dan kit ujian untuk menjalankan ujian swab bagi golongan yang terpinggir. Lebih daripada 1,000 ujian saringan telah dilakukan ketika Perintah Kawalan Pergerakan yang ketiga berlansgung dan lebih daripada 9,000 unit PPE telah dibelikan untuk petugas barisan hadapan. 


Sumbangan kedua yang bernilai RM620,000 telah digunakan untuk membeli peralatan perubatan bagi hospital-hospital awam di seluruh negara dan memberi sokongan dalam usaha vaksinasi di samping Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF). Lebih daripada 11,000 anggota golongan yang memerlukan termasuk orang kurang upaya (OKU), warga emas dan komuniti luar bandar di Kelantan dan Sabah telah divaksinasi menerusi inisiatif ini. 


Selain inisiatif ini, Digi sebagai penyedia perkhidmatan telekomunikasi, juga telah menyokong kakitangan kesihatan dengan membekalkan peranti serta pelan mudah alih bagi memudahkan penilaian dan kaunseling virtual dengan pesakit sementara menjamin ketersediaan khidmat rangkaian yang kukuh di lokasi-lokasi yang penting seperti hospital, pusat kuarantin, pusat vaksinasi dan kawasan perumahan.


Untuk maklumat lanjut mengenai inisiatif Yellow Heart oleh Digi yang ingin memperkasakan masyarakat Malaysia, sila layari https://www.digi.com.my/yellow-heart.