Digi memperkenalkan aplikasi altHR yang dinaik taraf serta serba baharu dan HR Starter Kit

Home
Press Release
June 8, 2021
https://digi.com.my/media/articleURLhereWhichCanbeReallyLong
  • Sejak pelancarannya pada tahun 2020, aplikasi HR digital tersebut kini merangkumi 20 modul untuk melengkapi pelbagai keperluan perniagaan
  • Turut memperkenalkan “Ultimate HR Starter Kit for 2021”, yang hadir dengan senarai semak kesediaan digitalisasi HR, iaitu sebuah panduan untuk perniagaan mengadaptasi mengikut arus masa kini

SUBANG JAYA, 9 Jun 2021 – Digi Telecommunications Sdn Bhd (Digi) pada hari ini melancarkan aplikasi altHR yang dinaik taraf serta serba baharu dan HR Starter Kit bagi membantu PKS dan perniagaan mikro membuat anjakan digital bagi komponen sumber manusia (HR) dalam perniagaan masing-masing.

Diperkenalkan buat pertama kali pada tahun lalu, altHR merupakan solusi pengurusan tenaga kerja digital, ia menampilkan pelbagai fungsi yang dirumus untuk landskap dunia semasa seperti pengurusan ‘cuti tanpa kertas’ dan perbelanjaan, kit jualan digital, penjejakan masa tanpa sentuh serta penyerapan kakitangan. Dengan mendigitalkan proses-proses HR yang penting, perusahaan perniagaan kini dapat memantau aliran kerja dengan lebih efisien lalu menumpukan perhatian mereka ke arah peningkatan produktiviti serta pertumbuhan perniagaan masing-masing. Tahun ini telah menyaksikan pengenalan fungsi-fungsi yang utama seperti pembayaran gaji (payroll), penugasan (rostering), pengurusan prestasi (performance management) dan “Ultimate HR Starter Kit for 2021”, iaitu sebuah buku panduan yang ditujukan untuk membantu pengusaha perniagaan melahirkan kakitangan yang celik digital.

Ketua Digi-X, Lee Kathryn mengulas, “Pandemik yang sedang berlanjutan telah menggiatkan proses digitalisasi terhadap banyak perniagaan. Dengan penguatkuasaan pelbagai bentuk perintah kawalan pergerakan, pekerjaan jarak jauh telah menjadi norma hari ini, dan mungkin menjadi norma hari esok. HR memainkan peranan yang penting ketika ini dan pendigitalan prosesnya dapat membantu PKS beroperasi dengan lebih efisien ketika mereka cuba menangani cabaran-cabaran lain yang disebabkan oleh landskap ekonomi semasa. Menerusi pelbagai modul yang ditawarkan dalam altHR, perusahaan dapat memanfaatkannya untuk menggalakkan keterlibatan kakitangan, selain memastikan mereka kekal terhubung dan produktif sepanjang tempoh ini.”

Ciri-ciri baharu ini dan "HR Starter Kit" telah diperkenalkan pada acara secara maya yang bertajuk altHR - Future-Proofing Workplaces For Tomorrow, dihadiri oleh PKS dan perniagaan mikro dari pelbagai industri. Para hadirin telah menyaksikan pendemonstrasian aplikasi baharu dan yang dinaik taraf ini serta berpeluang untuk mendengar perkongsian daripada pemilik-pemilik perniagaan yang telah memanfaatkan altHR sebagai usaha pendigitalan dan penambahbaikan operasi harian HR mereka.

Ketika acara tersebut berlangsung, Ketua Pegawai Sumber Manusia Digi (CHRO), Elisabeth Stene telah berkongsi mengenai perjalanan Digi sendiri ke arah HR yang bertunjangkan keupayaan digital, dan bagaimana kepimpinan dalam HR digital menjadi komponen yang penting dalam melahirkan dan memelihara sebuah organisasi yang diurus dengan baik.

altHR merupakan idea yang dikonsepsikan oleh Digi dan ia terbentuk melalui usaha Digi untuk menemukan solusi HR yang ‘paling sempurna’ bagi memenuhi corak pengoperasian mereka yang bersifat tangkas dan inovatif – ia kini dimanfaatkan oleh kakitangan Digi di seluruh negara dan merupakan solusi yang boleh dilaksanakan dalam semua jenis industri. Dapat diakses pada bila-bila masa dan di mana-mana jua dari pejabat atau rumah melalui peranti mudah alih, komputer riba dan sebagainya, altHR dirumus untuk melancarkan serta menaik taraf operasi HR.

“Ultimate HR Starter Kit” untuk membimbing PKS dalam anjakan transformasi digital mereka
Dengan mengambil langkah ke arah digitalisasi ketika dunia dilanda pandemik, HR kekal menjadi fokus yang utama bagi perniagaan kerana ia berpaksikan aset mereka yang paling bernilai – tenaga kerja. Oleh itu, altHR telah menyediakan “Ultimate HR Starter Kit for 2021” untuk memastikan PKS dan perusahaan mikro mempunyai panduan yang tepat di samping membantu mereka mendigitalkan proses HR masing-masing pada saat ini.

Merangkumi topik-topik yang penting seperti ‘Optimising the Workplace for the New Normal’, ‘Building an Impactful Employee Onboarding Programme’, ‘Improving Employee Well-being and Productivity’, serta perangkuman ‘HR Digitalisation Readiness Checklist’, kit panduan ini disediakan di laman sesawang altHR bagi para pelanggan atau perniagaan yang berminat. Kit panduan ini merupakan sebahagian daripada usaha Digi dalam membantu perusahaan membuat anjakan digital dari segala segi.

Bantuan pengintegrasian lengkap bagi perusahaan yang melanggan perkhidmatan altHR
altHR akan menawarkan bantuan pengintegrasian untuk memudahkan peralihan perusahaan ke altHR. Bantuan ini meliputi saranan mengenai polisi amalan yang terbaik, melatih pasukan HR cara untuk menggunakan modul-modul yang berbeza serta latihan untuk kakitangan yang akan menggunakan altHR bagi proses harian HR mereka.

Mendigitalkan fungsi-fungsi pekerjaan yang penting demi operasi yang serba lancar
Susulan penambahbaikan yang dibuat secara berterusan ke atas aplikasi tersebut, altHR baru-baru ini telah memperkenalkan tiga fungsi utama yang baharu, justeru aplikasi ini hadir dengan 20 modul yang menyeluruh bermatlamat untuk melancarkan operasi HR dan memenuhi keperluan kakitangan yang pelbagai secara digital.

Pembayaran Gaji (Payroll): Mematuhi piawaian Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), altHR Payroll membolehkan perusahaan menguruskan pembayaran gaji kakitangan dengan kebolehan untuk mengendalikan perihal seperti pengiraan yang berkaitan dengan gaji, tuntutan serta deduksi yang lain secara terperinci. Ia mewujudkan operasi pelaporan dan pemprosesan yang lebih lancar dan tepat, maka masa yang dijimatkan oleh pasukan kerja HR dapat diluangkan untuk aktiviti kerja lain yang lebih penting.

Penugasan (Rostering): altHR Rostering membolehkan pengurus menetapkan waktu syif dan menugaskan kakitangan atau menyediakan alternatif kepada mereka untuk memilih slot yang diinginkan. Bagi perniagaan yang memerlukan kakitangan untuk bertugas di tempat kerja, altHR Rostering dapat memudahkan amalan penjarakan sosial dengan menyusun syif kakitangan yang bertugas di tempat kerja serta mereka yang bekerja dari jauh.

Pengurusan Prestasi (Performance Management): altHR Performance Management membolehkan pengurus dan kakitangan menilai serta menambah baik prestasi kerja masing-masing melalui tinjauan dan kitaran penilaian prestasi yang boleh disuai padan. Ia dapat menggalakkan usaha untuk terus belajar dan berkembang yang akan memberi manfaat dalam jangka panjang kepada kakitangan serta perniagaan tersebut.

Ekoran Perintah Kawalan Pergerakan Penuh (PKPP) yang sedang berlanjutan, Digi melanjutkan penawaran altHR bagi perusahaan yang berminat untuk mendigitalkan komponen sumber manusia perniagaan mereka. Mulai hari ini sehingga 30 September 2021, altHR ditawarkan secara percuma bagi 50 kakitangan yang pertama dalam setiap perusahaan, tiada bayaran ‘set-up’ atau kontrak yang diperlukan.

Maklumat lanjut mengenai altHR dan portal pendaftaran untuk altHR, sila layari https://althr.my/.

digi
lee kathryn
altHR Performance Management