Digi Business dan AVANA bantu perniagaan B40 kuasai teknologi

Home
Press Release
August 26, 2021
https://digi.com.my/media/articleURLhereWhichCanbeReallyLong

Digi Business dan AVANA bantu perniagaan B40 kuasai teknologi

Siri My DigitalSME 2021 menyokong PMKS tempatan dengan siri bengkel secara maya danpenyelesaian e-dagang sosial yang komprehensif

 

SUBANG JAYA, 26 Ogos 2021 – Sekali lagi Digi Business dan AVANA meneruskan komitmen bersama untuk menyokong perjalanan digitalisasi Perusahaan Mikro, Kecil Dan Sederhana (PMKS)B40 dengan perlaksanaan siri maya My Digital SME 2021 yang terbaharu. Program ini bertujuan memberi pemilik PMKS tempatan pengetahuan dan alat yang dapat mereka gunakan untuk mengekalkan perniagaan pada masa yang mencabar ini.

 

Peserta telah menjalani beberapa siri bengkel secara langsung yang dihoskan di laman Facebook Digi. Mereka turut berpeluang berinteraksi bersama pakar industri dan juga rakan usahawan lain yang berjaya meneruskan perniagaan mereka melalui pendigitalan. Antara topik yang dibincangkan semasa bengkel termasuk panduan untuk mengoptimumkan alat dalam talian dan membina pengaruh yang kuat di media sosial, bagaimana untuk mengasimilasikan perniagaan dengan model e-dagang serta cara mengekalkan momentum digital untuk memperkukuhkan operasi perniagaan pada masa hadapan.

 

“Memandangkan kawalan pergerakan berterusan memaksa PMKS untuk menjalankan perniagaan dari rumah, keperluan untuk mempunyai penyambungan yang boleh dipercayai dan teknologi pintar adalah sangat penting. Justeru itu, kami memutuskan untuk meneruskan penganjuran beberapa program yang relevan umpamanya siri maya My Digital SME 2021 bersama rakan kongsi seperti AVANA. Program ini telah direka untuk memenuhi keperluan PMKS yang mungkin tidak mempunyai banyak waktu terluang tetapi perlu belajar dan memahami dengan cepat cara memanfaatkan pelbagai alat digital untuk terus produktif disamping mengekalkan kecekapan kos perniagaan,” kata Eugene Teh, Ketua Pegawai Perniagaan Digi.

 

Digi Business dan AVANA juga sepakat untuk membantu seramai mungkin termasuklah Organisasi Bukan Kerajaan (NGO). Baru-baru ini, Digi Business dan AVANA telah membantu mendigitalkan operasi The Serum Initiative, sebuah organisasi yang ditubuhkan untuk membekalkan keperluan kebersihan buat masyarakat yang terpinggir semasa pandemik ini dengan memberikan mereka pelan serta peranti mudah alih serta alat pemasaran media sosial.

 

Yien Yee, Ketua Pegawai Operasi Kumpulan AVANA percaya bahawa pandemik yang melanda telah meluaskan lagi jurang digital dalam negara, maka inisiatif seumpama ini adalah sangat penting demi melindungi kelangsungan perniagaan usahawan tempatan. “Walaupun kini digitalisasi merupakan satu keperluan, masih ada perniagaan di luar sana yang tidak mempunyai cara untuk mengaksesnya. Oleh itu, melalui usaha sama dengan Digi Business, kami ingin merapatkan jurang tersebut dengan memperkenalkan penyelesaian digital yang senang diakses, supaya PMKS terus kekal kompetitif dan mampu berkembang maju meskipun setelah pandemik berakhir.”

 

Selain daripada bekerjasama untuk My Digital SME, tawaran e-dagang AVANA juga merupakan sebahagian dari pakej GoDigital istimewa Digi Business, iaitu pakej transformasi digital menyeluruh yang ditawarkan oleh Digi kepada pelanggan PKS mereka. Pakej tersebut menyediakan peyambungan buat PKS menerusi pelan tambahan Go Digi (pelan mudah alih dan jalur lebar Digi khas untuk perniagaan), memberikan akses kepada alat produktiviti seperti altHR dan Omni, serta platform untuk mendapat manfaat daripada geran Digitalisasi PKS PENJANA.

Untuk maklumat lanjut mengenai pakej ini atau untuk mendaftar, sila layari digi.my/godigital