ARTIKEL - Melindungi Privasi Anak Anda dalam Normal Baharu

Home

Press Release


November 26, 2020

https://digi.com.my/media/articleURLhereWhichCanbeReallyLong

Oleh Kulani Kulasingam, Pegawai Perlindungan Data di Digi

Kita telah menyaksikan perubahan yang besar dalam aktiviti digital sepanjang pandemik melanda, menyebabkan kita belajar, bekerja dan bersosial secara dalam talian dengan lebih kerap berbanding sebelumnya. Kajian menunjukkan bahawa penggunaan skrin dalam kalangan kanak-kanak meningkat 500% dalam tempoh ini, dengan 50% kanak-kanak menghabiskan lebih dari 6 jam sehari dalam talian . Ibu bapa menghadapi lebih cabaran daripada biasa dalam menguruskan masa tayangan (screen time) anak di samping memastikan mereka selamat dalam talian.

Sebagai seorang ibu kepada dua orang anak lelaki yang sangat sayang akan peranti mereka, Kulani mula dengan menerapkan konsep "kod laluan" pada tablet – supaya mereka tahu bahawa peranti tersebut tidak boleh diakses dengan bebas oleh mereka sepanjang masa. "Amma harus memasukkan kod laluan pada tablet ini untuk kamu," katanya kepada mereka.

Bagi membantu anda dalam menguruskan keluarga, berikut merupakan beberapa saranan buat ibu bapa dan penjaga dalam menetapkan kawalan yang betul dan amalan privasi yang mudah untuk memberi anak anda pengalaman dalam talian yang lebih selamat.

Saranan #1: Mulakan perbualan mengenai privasi lebih awal.

Sentiasa peka dan berdialog bersama anak anda mengenai aktiviti dalam talian mereka, apa yang dikongsi dan kepada siapa. Juga penting untuk bercakap mengenai menghormati privasi orang lain dalam talian, seperti rakan mereka. Kebiasaan seperti ini akan mendorong anak-anak untuk berkongsi bersama ibu bapa atau penjaga sekiranyas mereka berasa bimbang atau ragu-ragu.

Saranan #2: Gandakan keselamatan peranti anda.

Galakkan anak anda memilih kata laluan yang kuat dan pasang ciri keselamatan terkini untuk melindungi privasi peranti mereka. Jangan sesekali berkongsi maklumat tersebut dengan orang lain. Jalankan pemeriksaan keselamatan secara berkala (disyorkan seminggu sekali!) untuk memastikan tiada ancaman pada peranti.
Bagi ibu bapa kepada anak-anak yang bersekolah rendah, set peranti anak anda dengan kawalan kata laluan supaya anda tahu mereka selamat dalam talian dan sekat pembelian dalam aplikasi agar bil anda tidak naik secara mendadak tanpa sengaja.

Saranan #3: Jangan berikan kebenaran akses aplikasi pada kesemuanya yang ada dalam peranti anda!

Apabila memuat turun aplikasi atau perisian baharu, adakalanya terdapat permintaan untuk mengakses lokasi atau galeri foto, malah keizinan untuk merakam audio atau video secara automatik. Aplikasi mengedit gambar misalnya memerlukan akses ke kamera telefon dan fail media anda untuk mengedit gambar tetapi tidak semua aplikasi perlu akses tersebut. Galakkan anak anda untuk selalu berwaspada dan sekat akses jika ia tidak diperlukan untuk sesuatu aplikasi atau perisian baharu itu berfungsi dengan baik.

Saranan #4: Sentiasa berfikir panjang sebelum memuat turun dan membuka sesuatu fail.

Elakkan daripada memuat turun dan membuka fail (.exe) melainkan daripada laman web yang dipercayai. (Catatan: fail .exe mengandungi arahan yang membuatkan peranti anda melakukan sesuatu apabila anda klik – malah boleh berkongsi fail tanpa anda sedari!) Penggodam dapat mengakses data anda dengan mudah apabila anda memuat turun dan membuka perisian hasad pada komputer peribadi, komputer riba atau telefon pintar. Perisian hasad yang sofistikated adalah sangat hebat, dan boleh menyalurkan maklumat kepada penggodam bahkan mengaktifkan kamera web anda.

Saranan #5: Berhati-hati dengan apa dan banyak mana maklumat peribadi yang anda berkongsi dalam talian.

Pastikan anak anda faham apa yang dimaksudkan dengan maklumat peribadi dan mengapa penting untuk tidak mendedahkan maklumat peribadi. Semasa mendaftar di laman web baharu misalnya, mereka mungkin diminta untuk berkongsi maklumat peribadi seperti nama, nombor telefon bimbit, alamat rumah atau foto mereka sendiri. Nasihatkan mereka untuk selalu bertanya kepada anda sekiranya tidak pasti.

Saranan #6: Melindungi diri dengan tetapan privasi di media sosial

Bimbing anak anda meneliti tetapan privasi pada akaun media sosial dan sebaiknya, set semua tetapan pada peribadi. Penandaan lokasi dalam sesuatu perkongsian contohnya, dapat mendedahkan keberadaan mereka. Hadkan akses kepada rakan dan keluarga yang dipercayai sahaja serta sekat kandungan yang tidak diingini. Sentiasa periksa tetapan asal.

Saranan #7: Elakkan daripada perkongsian berlebihan dalam talian

Ingatkan anak anda agar tidak terlalu banyak berkongsi foto dalam media sosial – baik foto sendiri mahupun rakan. Tindakan ini boleh menjejaskan privasi mereka, malah keselamatan diri mereka juga dalam beberapa situasi. Jangan berkongsi foto orang lain tanpa persetujuan mereka.

Ibu bapa juga harus mempraktikkan apa yang mereka katakan dan elakkan daripada 'sharenting' iaitu berkongsi gambar anak-anak dalam talian. Foto yang dikongsi pada hari ini akan menjadi sebahagian daripada jejak digital anak anda sampai bila-bila. Ingat: semua yang anda lakukan dalam internet boleh diakses oleh sesiapa sahaja dan kekal buat selamanya.

Saranan #8: Layari laman web yang selamat.

Setiap kali anak anda melayari laman web, nasihatkan mereka agar memilih laman web yang bermula dengan https:// dan bukannya http:// kerana perbezaan tersebut menandakan bahawa laman web itu "selamat". Sesetengah pelayar seperti Google Chrome, terdapat ikon berbentuk mangga (padlock) sekiranya laman web tersebut tersulit (encrypted) atau dengan kata mudah, selamat.

Ayuh, gunakan teknologi dengan bijak!

Teknologi merupakan satu alat yang hebat untuk membantu kita berhubung dengan perkara yang penting, terutamanya pada masa sekarang di mana kita berkomunikasi secara dalam talian lebih kerap daripada sebelumnya. Justeru itu, ayuh lengkapkan keluarga kita dengan pengetahuan yang tepat supaya dapat menggunakan teknologi dengan baik dan selamat, mengawal apa yang mereka kongsi dalam talian dan membantu anak-anak kita membina reputasi dalam talian yang positif yang mampu menyokong pendidikan atau aspirasi kerjaya mereka pada masa hadapan.

1https://parents-together.org/survey-shows-parents-alarmed-as-kids-screen-time-skyrockets-during-covid-19-crisis/

BMDigiPrivacyTips